Wednesday, 25 November 2015

Cendawan Tiram Goreng Tepung

Salam dan Hi Semua..

Menu makan malam kami hari ini antaranya adalah cendawan tiram celup tepung. Asalnya nak guna tepung segera KFC je, tapi terjumpa lak resepi dari Azie Kitchen ni. Mari mencuba.

CENDAWAN TIRAM GORENG TEPUNG 

 

Bahan2:
2 bungkus cendawan tiram (saya guna sebungkus je)
1 cawan tepung beras
3 sudu besar tepung jagung
1 biji telur
1 1/2 sudu kecil serbuk kunyit
garam secukupnya
1/2 cawan air atau secukupnya (saya guna 1/4 cawan je)
Minyak untuk menggoreng
  1.  Gaulkan rata semua bahan selain air di dalam mangkuk.
  2. Tambahkan air ikut kepekatan yang diingini.
  3. Salutkan cendawan dengan tepung.
  4. Panaskan minyak. Goreng selama 4-5 minit atau sehingga keperangan.
  5. Angkat dan tos minyak dengan paper towel.
  6. Sila makan semasa panas2..:) 

Tuesday, 24 November 2015

Congo Bars

Salam dan Hi Semua...

Hari ini saya buatkan congo bars untuk dijamu kepada rakan kerja en suami. Cubaan ke 3 sebenarnya. Risau juga kerana pada cubaan pertama macam 90% tak jadi (tapi bawa balik ke rumah mertua pada hari raya Haji habis licin, sedap juga versi tak jadi ni). Ianya padat, ditambah lupa alas tray dengan baking paper membuatkan ia sukar ditanggalkan dari loyang. Separa hancur saya kerjakannya..Haha. Cubaan ke 2 50% jadi. Semasa panas tekstur dia cantik, tapi bila sejuk, bahagian dalam tray dia seakan basah. Seolah gula semua bertumpu di situ. 

Alhamdulillah cubaan ke 3 ini menampakkan hasil yang lebih baik. Saya boleh habis kan seorang. Haha. Jadi la kot kan...:). Ketiga-tiga cubaan saya rujuk kepada Azlita Masam Manis dan juga Mat Gebu. 

CONGO BARS

 
Congo Bars

 
Bahan-bahan:
315g tepung gandum
2 1/2 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh garam
150g butter
320g gula perang - saya hanya guna 200g gula perang (cubaan ke2 saya guna 220g tapi masih terlalu manis bagi saya)
3 biji telur - saya guna gred A
1 sudu teh esen vanila
250g coklat chips - boleh ikut suka hati nak letak banyak mana - saya letak 100g pada cubaan ke3
1 cawan kacang pecan atau kekacang lain - saya guna 70g almond nibs pada cubaan ke3
Kepingan badam untuk taburan


  1.  Sapukan butter pada loyang 13 x 9 atau 10 x 10 (saya guna ini). Alas dengan baking paper. Oles juga butter pada baking paper.
  2. Ayak tepung bersama baking powder dan garam ke dalam bekas.Ketepikan.
  3. Dalam bekas lain, campurkan butter dan gula perang, kacau rata hingga butter melarut. (saya putar dengan hand mixer selama 5 minit pada kelajuan tinggi).
  4. Masukkan telur satu persatu sambil diputar sebati.
  5. Tambahkan esen vanila.
  6. Masukkan adunan tepung sedikit demi sedikit. Saya gaul secara kaup balik sehingga sebati.
  7. Tambahkan coklat chip, kekacang dan gaul rata.
  8. Tuangkan adunan ke dalam loyang, ratakan adunan dan taburkan coklat chip dan juga kepingan badam.
  9. Bakar pada suhu 170 degree selama lebih kurang 30 minit atau sehingga permukaan keperangan. (saya naikkan suhu, bakar pada 180 degree selama 25 minit kemudian 170 degree selama 10 minit).
  10. Biarkan sejuk dalam loyang, kemudian keluarkan dan boleh dipotong untuk dihidang.





Monday, 23 November 2015

Siakap Kukus Asam Boi

Salam dan Hi Semua...

Menu kami hari ini ialah siakap kukus asam boi. Setiap minggu pergi pasar wajib beli siakap. Seekor siakap saiz besar boleh sekali hadap je dengan kami suami isteri ni..Resepi di cuba dari blog hanamemories dan juga Amie's Little Kitchen.

SIAKAP KUKUS ASAM BOI

Siakap Kukus Asam Boi


Bahan-bahan:
1 ekor siakap saiz besar (atau kerapu etc)
1/2 biji bawang besar - hiris
2 ulas bawang putih - ketuk
1 - 2 batang serai - hiris
1 inci halia - hiris memanjang halus
1/4 batang carrot - hiris memanjang halus
5 biji atau lebih asam boi putih ( saya letak 6 biji)
Tomato ceri @ biasa - belah 4
Daun ketumbar - saya guna daun sup
1 sudu besar sos ikan
1  sudu besar sos tiram - optional
1 sudu besar kicap cair
Hirisan limau atau jusnya - saya perah 1 biji limau nipis
Cili padi dan cili merah - ikut kepedasan masing-masing - ketuk @ hiris
Garam - jika perlu
Tepung jagung + air sedikit (saya tak letak)

Cara Hana:
  1.  Rendam asam boi dgn air panas (air paras asam boi,jgn byk sgt) sehingga kembang. Kemudian kikiskan sedikit.
  2.  Basuh ikan dengan limau kemudian cuci bersih. Letak ke dalam pinggan@mangkuk tahan panas yang sesuai.
  3.  Susun@taburkan bahan2 lain ke atas ikan.Satukan dalam mangkuk kecil sos ikan, kicap cair, sos tiram, garam jika perlu. Kemudian curahkan ke atas ikan.
  4.  Akhir sekali masukkan asam boi dengan air rendaman asam boi sekali.
  5.  Kukus ikan selama 15min atau hingga masak.
  6.  Angkat dan hidangkan dengan menaburkan daun ketumbar lagi sekali.
Cara saya: (Cara orang malas nak bawa keluar pengukus..heheh)
  1. Rendam asam boi dengan air panas sehingga kembang, kemudian kikis sedikit.
  2. Campurkan sos ikan , sos tiram dan kicap, masukkan dalam kuali panas.
  3. Tuangakan air asam boi dan asam boi. Perahkan air limau. Tambahkan sedikit air.
  4. Masukkan semua bahan lain. Perisakan secukupnya.
  5. Selepas mendidih, masukkan ikan. Masak lebih kurang 5 minit setiap bahagian. 
  6. Hidangkan.

Saturday, 21 November 2015

Chili Crab

Salam dan Hi Semua..

Selalunya bila beli ketam saya masak gulai ketam nenas. Kali ini mencari kelainan buat chili crab untuk santapan tengahari kami. Orang lain biasa buat, saya baru nak cuba. Pergi pasar baru ni, ketam dia nampak fresh, sambar lak 4 ekor saiz besar.  Resepi dicuba dari blog Secuit Rasa. Memang leka meratah en suami saya.

CHILI CRAB

Chili Crab


Bahan A:
4 ekor ketam saiz besar
3 sudu besar tepung jagung
1 biji telur - dipukul
sedikit garam
  1.  Ketam dibersihkan dan dibelah dua. Toskan dan lap kering dengan kitchen towel agar mudah disalut bahan salutan.
  2. Campurkan tepung, telur dan garam dalam satu bekas.
  3. Gaul rata ketam. Ketepikan.
Bahan B: (Bahan kisar)
7 tangkai cili besar
2 sudu besar serbuk cili
1 inci halia
1 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
sedikit air untuk mengisar bahan

Bahan C: (Homemade tomato puree daripada blog oursimplegarden.)
3 biji tomato masak (~ 250g)
1 sudu besar cuka masakan
1 1/2 sudu besar gula
  1. Bersihkan buah tomato. Kemudian kelar silang pada pada bahagian bertentangan dengan tangkai agar mudah dibaung kulit nanti.
  2. Didihkan air dalam periuk, masukkan tomato dan masak dalam 10 - 15 minit.
  3. Kemudian rendam dalam air sejuk selama 5 minit.
  4. Buangkan kulit, belah tomato untuk dibuang biji. Jika tak nak buang biji pon takpe.
  5. Kisar hancur tomato, tuangkan dalam periuk.
  6. Masak ikut kepekatan yang dikehendaki bersama gula dan cuka.

Bahan D:
1 tin kecil tomato puree (tiada stok dirumah, saya buat sendiri) - bahan C
4 sudu besar cili sos
sedikit cuka masakan putih (tak letak sbb dah diletak dalam tomato puri homemade)
sedikit garam
sedikit gula (tak letak sbb dah letak dalam tomato puri homemade)
1 biji telur - dipukul sedikit
sedikit perasa - optional
minyak untuk menggoreng

Cara-caranya:
  1. Panaskan minyak. Gorengkan ketam yang telah dicelup dengan tepung tadi sehingga masak. Angkat dan toskan.
  2. Kurangkan minyak tadi sehingga setakat untuk menumis, tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
  3. Maukkan tomato puri, sos cili, cuka, gaul rata, biarkan masak sebati.
  4. Tambahkan gula, garam dan perasa.
  5. Masukkan ketam. Gaul rata. Pecahkan telur, gaul rata sehingga masak bersalut.
  6. Hidangkan.


Friday, 20 November 2015

Siakap Bakar Portugis

Salam dan Hi Semua...

Menu tengahari kami adalah siakap bakar portugis. Ini kali kedua sebenarnya saya buat masakan ini dengan resepi dari 5 Rencah 5 Rasa. En suami sukakan menu ini.

SIAKAP BAKAR PORTUGIS

 
Siakap Bakar Portugis


Bahan-bahan:
1 ekor siakap saiz besar @ 2 ekor saiz kecil
10 tangkai cili kering*
1 @ 2 biji buah keras*
3 tangkai cili merah*
6 tangkai cili padi*
1 inci belacan*
3 ulas bawang putih*
1 ulas bawang besar*
1 inci halia*
1/2 inci lengkuas*
gula melaka*
garam*
1 batang serai - diketuk
1/2 biji lemon - diperah jus
sedikit minyak zaitun
beberapa tangkai daun sup
  1.  Rendam cili kering dan buah keras dalam air panas
  2. Tumbuk separa hancur semua bahan bertanda * (saya kisar dengans sedikit air)
  3. Kelar ikan yang telah dibersihkan. Lumur sedikit garam.
  4. Ambil aluminium foil, letak sambal diatasnya dikuti ikan, kemudian letak sambal kisar di tengah ikan dan ratakan bakinya di atas ikan.
  5. Letak serai dan daun sup di tengah ikan.
  6. Tuangkan minyak zaitun dan perah jus lemon pada ikan.
  7. Kemaskan aluminium foil agar membalut ikan seluruhnya.
  8. Panaskan atas kuali. (saya guna pemanggang ajaib, bakar dalam 10 minit) 
  9. Sedia dimakan panas-panas. Jus dari ikan akan keluar dan buatkan ia berkuah.


Tuesday, 17 November 2015

Ayam Teriyaki

Salam dan Hi Semua...

Resepi ini dah disimpan berkurun lama dari blog mamadee's kitchen, namun baru hari ini membuatnya. Tapi kejadian ayam teriyaki saya tak seindah tuan empunya resepi. Mula2 kuah nya cair dan lambat memekat, terlebih besarkan api,  terhitam la sikit ayam ni. Mungkin juga kerana ayam yang saya gunakan semua saya dah togelkan dari kulit. Mungkin.

AYAM TERYAKI

Ayam Teriyaki


Bahan2:
5 potong dada ayam @ bahagian ayam yang tidak bertulang
2 sudu besar madu
4 sudu besar kicap manis
1 sudu teh minyak bijan
1 inci halia - diparut
3 ulas bawang putih - diparut
2 sudu besar gula perang
garam secukup rasa
bijan untuk ditabur
  1. Gaul rata semua bahan dan perap ayam selama sejam atau semalaman.
  2. Panaskan kuali non stick dan panggang ayam.
  3. Tutup kuali (saya guna pemanggang ajaib), buka sekali sekala dan apabila ayam hampir masak, terbalikkan.
  4. Siramkan lebihan kuah perapan di atas ayam dan balikkan ayam sehingga masak dan kuah memekat.
  5.  Setelah masak, bolehlah dihiris nipis dan ditabur bijan di atasnya.

Monday, 16 November 2015

Sup Labu dan Ayam

Salam dan Hi Semua..

Saya sebenarnya tak pandai makan labu. Baru-baru ni pandai makan lepas mak buat sup labu dan ayam. Sedap rupanya. Ruginya la sebelum ni tak pernah makan. Terus minta resepi dari mak. Hehe.

SUP LABU AYAM

Sup Labu dan Ayam


Bahan-bahan:
3 potong chicken thigh atau dada atau bahagian lain - dipotong kecil
1/2 biji labu manis saiz kecil - dibuang biji dan kulit, dipotong
2 ulas bawang merah - di hiris
1 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia - dihiris
8 tangkai cili padi - diketuk
serbuk perencah sup adabi secukupnya
garam secukupnya
  1. Semua bahan selain ayam dan perencah sup ke dalam periuk, tambahkan sedikit air, tutup periuk masak sehingga labu empuk ( selalunya 1 kali mendidih dah cukup)
  2. Masukkan ayam bersama perencah sup, masak sehingga ayam masak.