Saturday, 26 November 2016

Butter Lemon Cheese Cake

Salam dan Hi Semua...

Hari ni setelah mendapat perkabaran ada sepupu nak datang rumah, apa lagi godek resepi dalam simpanan untuk dicuba dan dihidang kepada tetamu. Hihi. Jumpa la resipi lemon cheese butter cake ni. Resipi dicuba dari facebook Noy Yullan. Terima kasih tuan resipi.

Sebenarnya dah lama nak cuba buat tapi mengenangkan kami tinggal berdua ja, kembung jugak nak habiskan 1 biji kek. Hihi. Dah ada tetamu nak datang ni, boleh la merasa beramai-ramai. Kek ni kalau simpan di suhu bilik bertahan dalam 3 hari je.

BUTTER LEMON CHEESECAKE


Bahan-bahan:

225g tepung gandum
1 1/2 st baking powder
200g pure butter atau lepa susu
180g krim keju
150g gula pasir
5 biji telur gred A atau B
1/2 st parutan kulit lemon
1 st jus lemon



Cara-cara:

  • Satukan butter, krim keju dan gula dalam mixing bowl, putar pada kelajuan perlahan supaya semua bahan bersatu. Tambahkan kelajuan, pukul hingga adunan kembang dan bertukar menjadi putih pucat.
  • Sekiranya ada bahan-bahan yang menempel tepi mangkuk, stopkan mixer sekejap, kikis dengan spatula supaya semua bahan dipukul sempurna.
  • Masukkan telur satu persatu ke dalam adunan. 
  • Masukkan lemon zest dan jus lemon. Masa parut kulit lemo tu parut bahagian kuning sahaja ya. Kalau parut bahagian putih nanti pahit. Jus lemon wajib tapis bijinya.
  • Pukul adunan hingga kembang gebu dan rata.
  • Perlahankan mixer, masukkan tepung yang telah diayak bersama baking powder sedikit sedikit. Putar sekadar sebati sahaja. Kemudian off mixer, gunakan spatula sodok bahagian bawah adunan dan kaup balik 2-3 kali untuk pastikan tiada ketulan tepung di bawah adunan. Jangan overmix. Sekadar sebati sahaja.
  • Sediakan loyang 8 x 8 yang telah digris sekeliling dengan butter dan dimasukkan tepung supaya kek mudah dikeluarkan.
  • Tuangkan adunan ke dalam loyang. Hentakkan loyang beberapa kali untuk buang udara dalam kek supaya kek naik cantik dan rata.
  • Bakar pada suhu 170 degree (lain oven lain suhu, kenali oven masing-masing) selama 30 minit atau sehingga masak. Bila dah cukup 30 minit, cucuk tengah kek dengan lidi, jika lidi keluar bersih, maknanya kek dah masak. Oven tadi panaskan 15 minit awal sebelum masuk loyang berisi adunan.
  • Keluarkan terus kek dari loyang supaya kek tidak berpeluh dalam loyang.
  • Kek ni sedap dimakan panas-panas. Kalau nak ambil gambar dengan potongan yang kemas potong kek bila kek dah betul sejuk. Nak lagi kemas, masukkan seejap dalam 15 minit dalam chiller. Bila nak makan panas-panas, masukkan kek dalam microwave selama 10-20 saat.

Wednesday, 23 March 2016

Kek butter klasik

Salam dan Hi Semua..

Hari ni saya cuba buat kek butter klasik menggunakan pure butter. Kek ni berasal dari zaman dulu-dulu lagi menggunakan bahan-bahan asas sahaja tapi kesedapannya memang tak dapat dilupakan. Lagi-lagi bila guna pure butter, wangi semerbak. Sebenarnya dari zaman kecil-kecil dulu lagi setiap kali nak raya, pasti bonda buatkan 2-3 biji untuk di bawa pulang ke rumah tok wan. Sekejap je habis dikerjakan anak-anak sedara. Hari ni resipi dicuba dari blog Suka Suki. Siap kek ni saya berikan sedikit pada jiran, membalas laksa ke kuew tiaw tomyam. Lupa dah, tu la perap lama sangat. Sori ye kak..hihi. Sebahagian lagi saya bawa balik kampung...

KEK BUTTER KLASIK



Bahan-bahan:
5 biji telur size A
180g gula kastor
200g tepung kek @ tepung naik sendiri
*kalau guna tepung gandum tambahkan 3/4 sudu baking powder*
250g salted butter
1/2 sudu esen vanila
  1. Lengserkan loyang 8" dengan butter, alaskan dengan baking paper.
  2. Panaskan oven pada suhu 170 degree selama 15 minit.
  3. Pukul butter dan gula dengan mixer. Mulakan dengan kelajuan rendah, dah sebati naikkan kelajuan hingga butter betul-betul sebati dengan gula.
  4. Perlahankan mixer, masukkan telur satu persatu sambil terus diputar. Tambahkan kelajuan, putar hingga adunan sebati.
  5. Masukkan esen vanila dan pukul lagi.
  6. Dengan menguunakan spatula, kaup balik tepung ke dalam adunan hingga sebati. masa ni kalau nak boleh tambah choc chip ke kismis ke.
  7. Boleh terus tuang dalam loyang. 
  8. Saya bahagi adunan kepada 2 bahagian. 1 bahagian ditambah 1 sudu besar serbuk koko.
  9. Tuangkan ke dalam loyang secara berselang seli bahagian adunan putih dan adunan koko.
  10. Bakar pada suhu 170 degree selama 50 minit atau sehingga masak.


Tuesday, 24 November 2015

Congo Bars

Salam dan Hi Semua...

Hari ini saya buatkan congo bars untuk dijamu kepada rakan kerja en suami. Cubaan ke 3 sebenarnya. Risau juga kerana pada cubaan pertama macam 90% tak jadi (tapi bawa balik ke rumah mertua pada hari raya Haji habis licin, sedap juga versi tak jadi ni). Ianya padat, ditambah lupa alas tray dengan baking paper membuatkan ia sukar ditanggalkan dari loyang. Separa hancur saya kerjakannya..Haha. Cubaan ke 2 50% jadi. Semasa panas tekstur dia cantik, tapi bila sejuk, bahagian dalam tray dia seakan basah. Seolah gula semua bertumpu di situ. 

Alhamdulillah cubaan ke 3 ini menampakkan hasil yang lebih baik. Saya boleh habis kan seorang. Haha. Jadi la kot kan...:). Ketiga-tiga cubaan saya rujuk kepada Azlita Masam Manis dan juga Mat Gebu. 

CONGO BARS

 
Congo Bars

 
Bahan-bahan:
315g tepung gandum
2 1/2 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh garam
150g butter
320g gula perang - saya hanya guna 200g gula perang (cubaan ke2 saya guna 220g tapi masih terlalu manis bagi saya)
3 biji telur - saya guna gred A
1 sudu teh esen vanila
250g coklat chips - boleh ikut suka hati nak letak banyak mana - saya letak 100g pada cubaan ke3
1 cawan kacang pecan atau kekacang lain - saya guna 70g almond nibs pada cubaan ke3
Kepingan badam untuk taburan


  1.  Sapukan butter pada loyang 13 x 9 atau 10 x 10 (saya guna ini). Alas dengan baking paper. Oles juga butter pada baking paper.
  2. Ayak tepung bersama baking powder dan garam ke dalam bekas.Ketepikan.
  3. Dalam bekas lain, campurkan butter dan gula perang, kacau rata hingga butter melarut. (saya putar dengan hand mixer selama 5 minit pada kelajuan tinggi).
  4. Masukkan telur satu persatu sambil diputar sebati.
  5. Tambahkan esen vanila.
  6. Masukkan adunan tepung sedikit demi sedikit. Saya gaul secara kaup balik sehingga sebati.
  7. Tambahkan coklat chip, kekacang dan gaul rata.
  8. Tuangkan adunan ke dalam loyang, ratakan adunan dan taburkan coklat chip dan juga kepingan badam.
  9. Bakar pada suhu 170 degree selama lebih kurang 30 minit atau sehingga permukaan keperangan. (saya naikkan suhu, bakar pada 180 degree selama 25 minit kemudian 170 degree selama 10 minit).
  10. Biarkan sejuk dalam loyang, kemudian keluarkan dan boleh dipotong untuk dihidang.





Wednesday, 14 October 2015

Kek Karamel

Salam dan Hi Semua...

Kek karamel ni dah lama teringin nak buat tapi tiada keberanian bila tengok banyaknya step dalam menyiapkan nya. Risau tak menjadi. Tapi Alhamdulillah cubaan pertama menjadi berpandukan resepi dan tips dari blogger yang dikagumi, siapa lagi kalau bukan Azlita Masam Manis. Agak mengambil masa membuatnya maklumla saya budak baru belajar. Tapi sekejap saja habis. Memang sedap sangat! Berbaloi-baloi..

KEK KARAMEL

Kek Karamel


Bahan-bahan:

Bahan A (Gula Hangus)

2 sudu besar gula pasir
  • Sediakan loyang 8 inci 
  • Tabur gula dalam loyang dan masak atas api perlahan.
  • Biarkan gula hancur dan warna berukar perang (tak perlu dikacau).
  • Ratakan gula dengan menyengetkan loyang ke kiri dan kanan.
  • Biarkan gula sejuk. Gula yang sejuk akan keras dan retak retak dan berbunyi seperti kaca pecah bila dah keras.
  • Ketepikan.
Bahan B (Puding Karamel)

1/2 tin (200ml) susu cair
70g gula castor
1/2 sudu teh esen vanila
3 biji kuning telur

**bahan di atas menghasilkan lapisan karamel yang nipis dan agak manis. Boleh kurangkan gula atau gandakan bahan seperti di bawah ikut resepi Azie Kitchen**

1 tin susu cair
60g gula castor
1/2 sudu teh esen vanila
3 biji kuning telur
2 biji telur
  • Kacau susu dan gula sehingga gula larut.
  • Kacau telur dan esen perlahan.
  • Satukan kedua-dua bahan dan kacau rata perlahan saja.
  • Kemudian tapis ke dalam loyang hula hangus tadi.
  • Ketepikan.
  • Adunan ini tidak perlu di bakar dulu, kita akan bakar adunan ini bersama adunan kek nanti.
Bahan C (Adunan Kek)

140g tepung gandum
1 sudu teh baking powder
3 biji kuning telur
135ml air
45ml minyak masak
70g gula castor
  • Ayak tepung bersama baking powder.
  • Pukul kuning telur, minyak dan air sampai gebu dan tukar ke warna putih.
  • Kemudian masukkan gula kastor dan pukul lagi sampai naik sekali ganda.
  • Matikan mixer, masukkan campuran tepung dan baking powder yang telah diayak tadi sikit sikit dan kacau perlahan secara kaup balik sehingga kesemua bergaul sempurna.
  • Ketepikan.
Bahan D (Meringue)

6 biji putih telur (pastikan jangan bercampur kuning telur)
70g gula castor
1 sudu teh krim tar tar
  • Pastikan semua peralatan dalam keadaan kering.
  • Pukul putih telur hingga berbuih.
  • Masukkan gula dan krim tar tar dan terus memukul dengan kelajuan tinggi hingga adunan kental dan kaku. (Kalau terbalikkan loyang adunan putih telur tidak jatuh - soft peak).
Cara-cara:
  1. Masukkan 1/3 bahan meringue (Bahan D) ke dalam adunan tepung (Bahan C) tadi.
  2. Gaul rata secara kaup balik.
  3. Masukkan semua baki meringue dan ratakan secara kaup balik hingga bergaul sempurna. Kacau perlahan sahaja.
  4. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian sama banyak.
  5. Letakkan pewarna yang disukai.
  6. Kemudian tuangkan adunan kek ini ke atas lapisan karamel tadi secara belang -belangkan adunan: 
    • Tuang 3 sudu lapisan biru, kemudian 3 sudu lapisan hijau ditengah lapisan biru.
    • Kemudian tuangkan pula 3 sudu lapisan pink di tengah lapisan hijau.
    • Buat begini sehingga 3/4 adunan, kemudian ulang langkah yang sama dengan menggunakan 2 sudu pula.
    • Akhir sekali dengan 1 sudu.
    • Lorekkan atas adunan tadi, agak2 kedalaman lidi supaya tidak menyentuh lapisan karamel.
  7. Panaskan oven terlebih dahulu pada suhu 170 degree api bawah. Bila dah masukkan kek dalam oven, turunkan kepada 160 degree api bawah. Bakar selama 1 jam atau sehingga kek masak
  8. Bakar dengan kaedah steam bath pada rak bawah:
    • Tuangkan air panas dalam loyang yang lebih besar dari loyang kek.
    • Letakkan loyang kek dalam loyang air panas.
    • Jika gunakan loyang berpatri, balut dasar loyang dengan aluminium foil untuk elak air masuk ke dalam adunan kek. Atau boleh juga letakkan tapak pada loyang air panas dan letakkan loyang kek atas tapak.
    • Jika gunakan oven gas, kedudukan loyang air panas di letak di bahagian rak bawah dan loyang kek pada rak atas.
  9. Selepas masak, renggangkan pintu oven, biarkan kek di dalam oven sehingga kek renggang di tepi loyang, ia akan turun sedikit.
  10. Terbalikkan atas pinggan dan biar ia turun ke atas pinggan sendiri. (saya simpan kek di dalam chiller dulu selepas kek mencapai suhu bilik sebelum di pindahkan ke atas pinggan dari loyang).
  11. Cepat-cepat lapkan air gula hangus dengan kitchen towel agar air tu tak turun membasahkan kek.
  12. Potong kek bila benar-benar sejuk. 
  13. Saya suka makan kek ni dari chiller. Sedap!
Sebelum dan Selepas Lorek

Biarkan kek renggang selepas masak






Monday, 9 March 2015

Kek Chocolate Moist

Salam dan Hi Semua...

Banyak kali try buat kek coklat moist, tapi x pernah jadi seperti yang dikehendaki. Bantat la, kering la, macam2 hal la. Baru2 ni, Kak Ros Jiran sebelah ade bagi kek coklat moist..memang moist habes la. Tak manis sangat..memang kena dengan tekak kami. Selepas 2 minggu lebih peram resipi dia, hari ni baru berkesempatan cuba sendiri...Kak Ros, minta izin share resepi di sini ye...

KEK COKLAT LEMBAB KUKUS

Moist Choc Cake

Bahan2:
Bahan A:
1 cawan serbuk koko Van Houten (saya guna serbuk koko biasa je)
1 cawan susu cair (saya guna susu segar)
1 cawan susu pekat manis
1 cawan minyak (saya guna minyak matahari)
3/4 cawan gula pasir
  • Masukkan kesemua bahan dalam periuk, masak atas api perlahan sehingga gula cair (saya masak sambil kacau)
  • Biarkan sejuk

Bahan B:
1 cawan tepung gandum
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat
  • Ayak kesemua bahan

Bahan C:
4 biji telur (saya guna telur gred C)
  • Blend telur
Cara-cara:
  1. Oles loyang dengan minyak. **mungkin saya kena alas loyang dengan kertas minyak sebelum oles minyak sbb kek ni lembut, masa nak pindahkan atas pinggan ia sedikit hancur di bahagian bawah**
  2. Panaskan pengukus
  3. Masukkan Bahan B berselang seli dengan Bahan C ke dalam Bahan A. (mulakan dengan tepung, akhiri dengan tepung) sampai habis. **saya whisk setiap kali masukkan bahan sehingga sebati**
  4. Tuang ke dalam loyang. (saya guna loyang 22cm, mungkin kena guna loyang lebih besar sebab kek naik mengena aluminium foil di tengahnya).
  5. Tutup dengan aluminium foil, kukus sehingga masak. (saya kukus dalam 1 jam).
  6. Biarkan kek sejuk sebelum di curahkan topping coklat.
Bahan Topping:
220 - 250 gm (1 bar ) coklat masakan
Sedikit susu cair (saya letak ~1/4 cawan susu segar)
1 sudu besar butter
Coklat rice/ kepingan badam
  •  Masukkan kesemua bahan dalam periuk.
  • Masak secara double boiling, selepas semua cair dan sebati, curahkan atas kek tadi.
  • Hiaskan dengan coklat rice atau kepingan badam.
Alhamdulillah kek menjadi. Rasa memang sedap. Mungkin saya ada sedikit kesilapan teknikal masa alihkan kek dari loyang ke pinggan. Takpe, lepas ni boleh cuba lagi..Terima kasih kak Ros atas resipi kek coklat moist yg sedap ni. Hehe..

Tuesday, 3 March 2015

Kek Belang

Salam dan Hi Semua...

Hari ni, bonda ajak buat kek choc moist tapi bahan tak cukup pulak. Godek2 almari dapur, bahan cukup untuk kek belang (kami pon tak pasti nama kek ni, disebabkan berbelang2 dari kecik saya panggil kek belang je) maka kami pon buat la kek. Bonda saya selalu buat kek ni terutama untuk hari raya. Kadang-kadang buat sampai 2 atau 3 biji untuk di bawa balik ke rumah tok wan. Buat banyak pon, hari pertama raya da hampir habis dikerjakan oleh anak2 dan anak sedara. Haha. Meh kita tengok bahan yang diperlukan dan cara pembuatannya.

KEK BELANG

Kek Belang


Bahan2:
1 cawan (220g) planta/butter
1 cawan (190g) gula halus (saya kisar je gula biasa, heheh)
1 1/2 cawan (175g) tepung gandum
5 biji telur
1 sudu teh esen vanila
1 sudu besar serbuk koko


  • Putar gula bersama planta sehingga kembang dan menjadi putih dalam 15 - 17 minit. Mulai dengan kelajuan rendah dan diteruskan dengan kelajuan tinggi.
  • Masukkan telur satu persatu sambil terus dipukul dengan kelajuan rendah.
  • Masukkan esen vanila.
  • Masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil dipukul pada kelajuan rendah dalam satu arah.
  • Bahagian adunan kepada 2 bahagian. 1 bahagian ditambah serbuk koko.
  • Alas loyang dengan kertas minyak. Oleskan dengan planta.
  • Sendukkan adunan ke dalam loyang dimulai dengan adunan putih kemudian koko kemudian putih secara berselang seli sehingga habis.
  • Bakar pada suhu 300F @ 150 degree (kalau ikut oven bulat bonda) selama 45 minit atau sehingga masak.