Wednesday, 14 October 2015

Kek Karamel

Salam dan Hi Semua...

Kek karamel ni dah lama teringin nak buat tapi tiada keberanian bila tengok banyaknya step dalam menyiapkan nya. Risau tak menjadi. Tapi Alhamdulillah cubaan pertama menjadi berpandukan resepi dan tips dari blogger yang dikagumi, siapa lagi kalau bukan Azlita Masam Manis. Agak mengambil masa membuatnya maklumla saya budak baru belajar. Tapi sekejap saja habis. Memang sedap sangat! Berbaloi-baloi..

KEK KARAMEL

Kek Karamel


Bahan-bahan:

Bahan A (Gula Hangus)

2 sudu besar gula pasir
  • Sediakan loyang 8 inci 
  • Tabur gula dalam loyang dan masak atas api perlahan.
  • Biarkan gula hancur dan warna berukar perang (tak perlu dikacau).
  • Ratakan gula dengan menyengetkan loyang ke kiri dan kanan.
  • Biarkan gula sejuk. Gula yang sejuk akan keras dan retak retak dan berbunyi seperti kaca pecah bila dah keras.
  • Ketepikan.
Bahan B (Puding Karamel)

1/2 tin (200ml) susu cair
70g gula castor
1/2 sudu teh esen vanila
3 biji kuning telur

**bahan di atas menghasilkan lapisan karamel yang nipis dan agak manis. Boleh kurangkan gula atau gandakan bahan seperti di bawah ikut resepi Azie Kitchen**

1 tin susu cair
60g gula castor
1/2 sudu teh esen vanila
3 biji kuning telur
2 biji telur
  • Kacau susu dan gula sehingga gula larut.
  • Kacau telur dan esen perlahan.
  • Satukan kedua-dua bahan dan kacau rata perlahan saja.
  • Kemudian tapis ke dalam loyang hula hangus tadi.
  • Ketepikan.
  • Adunan ini tidak perlu di bakar dulu, kita akan bakar adunan ini bersama adunan kek nanti.
Bahan C (Adunan Kek)

140g tepung gandum
1 sudu teh baking powder
3 biji kuning telur
135ml air
45ml minyak masak
70g gula castor
  • Ayak tepung bersama baking powder.
  • Pukul kuning telur, minyak dan air sampai gebu dan tukar ke warna putih.
  • Kemudian masukkan gula kastor dan pukul lagi sampai naik sekali ganda.
  • Matikan mixer, masukkan campuran tepung dan baking powder yang telah diayak tadi sikit sikit dan kacau perlahan secara kaup balik sehingga kesemua bergaul sempurna.
  • Ketepikan.
Bahan D (Meringue)

6 biji putih telur (pastikan jangan bercampur kuning telur)
70g gula castor
1 sudu teh krim tar tar
  • Pastikan semua peralatan dalam keadaan kering.
  • Pukul putih telur hingga berbuih.
  • Masukkan gula dan krim tar tar dan terus memukul dengan kelajuan tinggi hingga adunan kental dan kaku. (Kalau terbalikkan loyang adunan putih telur tidak jatuh - soft peak).
Cara-cara:
  1. Masukkan 1/3 bahan meringue (Bahan D) ke dalam adunan tepung (Bahan C) tadi.
  2. Gaul rata secara kaup balik.
  3. Masukkan semua baki meringue dan ratakan secara kaup balik hingga bergaul sempurna. Kacau perlahan sahaja.
  4. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian sama banyak.
  5. Letakkan pewarna yang disukai.
  6. Kemudian tuangkan adunan kek ini ke atas lapisan karamel tadi secara belang -belangkan adunan: 
    • Tuang 3 sudu lapisan biru, kemudian 3 sudu lapisan hijau ditengah lapisan biru.
    • Kemudian tuangkan pula 3 sudu lapisan pink di tengah lapisan hijau.
    • Buat begini sehingga 3/4 adunan, kemudian ulang langkah yang sama dengan menggunakan 2 sudu pula.
    • Akhir sekali dengan 1 sudu.
    • Lorekkan atas adunan tadi, agak2 kedalaman lidi supaya tidak menyentuh lapisan karamel.
  7. Panaskan oven terlebih dahulu pada suhu 170 degree api bawah. Bila dah masukkan kek dalam oven, turunkan kepada 160 degree api bawah. Bakar selama 1 jam atau sehingga kek masak
  8. Bakar dengan kaedah steam bath pada rak bawah:
    • Tuangkan air panas dalam loyang yang lebih besar dari loyang kek.
    • Letakkan loyang kek dalam loyang air panas.
    • Jika gunakan loyang berpatri, balut dasar loyang dengan aluminium foil untuk elak air masuk ke dalam adunan kek. Atau boleh juga letakkan tapak pada loyang air panas dan letakkan loyang kek atas tapak.
    • Jika gunakan oven gas, kedudukan loyang air panas di letak di bahagian rak bawah dan loyang kek pada rak atas.
  9. Selepas masak, renggangkan pintu oven, biarkan kek di dalam oven sehingga kek renggang di tepi loyang, ia akan turun sedikit.
  10. Terbalikkan atas pinggan dan biar ia turun ke atas pinggan sendiri. (saya simpan kek di dalam chiller dulu selepas kek mencapai suhu bilik sebelum di pindahkan ke atas pinggan dari loyang).
  11. Cepat-cepat lapkan air gula hangus dengan kitchen towel agar air tu tak turun membasahkan kek.
  12. Potong kek bila benar-benar sejuk. 
  13. Saya suka makan kek ni dari chiller. Sedap!
Sebelum dan Selepas Lorek

Biarkan kek renggang selepas masak






No comments:

Post a Comment