Wednesday, 19 October 2016

Daging Goreng "Bawang Tumis"

Salam dan Hi Semua..

Hari ini merupakan hari ke3 en suami bawa bento ke tempat kerja. Sebelum ni pernah juga buatkan lunch box untuk dia tapi on off ikut dan. Harap kali ni berterusan lah. Seronok dia kata sebab tak perlu dah pikir nak keluar beli lauk apa semua kan. Kesian kat dia selalu tak berkesempatan lunch.

Dapat idea nak masak menu hari ini masa teman en suami jogging petang semalam. Dia jogging kita scroll fb cari resipi..hihihi. Tengok resipinya sangat simple dan semua bahan pun ada. Dan yang penting memang sangat sedap. Terima kasih tuan resipi FHA Selemak Santan.

Jom semak resipi!

DAGING GORENG BAWANG TUMIS



Bahan A
350g daging
1 st serbuk kunyit
garam secukupnya
1 st serbuk lada hitam
Air secukupnya

Bahan B
Minyak secukupnya
5-6 biji bawang besar dibelah 2 dan dihiris tebal - saya guna 2 biji bawang holland saiz besar
10-15 biji cili padi merah dihiris serong - saya guna hot chilis (scotch bonnet) yg dibeli dari maldives tempohari
10-15 biji cili padi hijau dihiris serong

Cara-cara:
  1. Daging dihiris nipis, gaul dengan serbuk kunyit dan garam. (saya biarkan 10 minit)
  2. Masukkan daging perap, lada hitam dan air (paras daging) ke dalam kuali. Rebus hingga daging lembut sepenuhnya. Guna daging batang pinang sekejap je lembutnya. Kira air rebusan hampir kering dah sedia untuk step seterusnya.
  3. Tuang sedikit minyak ke dalam kuali, goreng daging 1/3 garing. Ketepikan.
  4. Tambahkan minyak ke dalam kuali secukupnya untuk menggoreng bawang hingga layu dan terbit bau.
  5. Masukkan cili padi. Bila cili hampir layu baru masukkan daging . 
  6. Ratakan sebentar dan sedia dihidang.

Tuesday, 22 March 2016

Daging Goreng Kunyit Bonda

Salam dan Hi Semua..

Menu makan malam kami arini adalah daging goreng kunyit resipi bonda. Resipi ini lain dari daging goreng yang kita biasa order kat kedai masakan panas ala Thai ye sebab berkuah.

DAGING GORENG KUNYIT 

Daging goreng kunyit


Bahan-bahan:
600g daging - dihiris nipis dan dibersihkan
1 inci halia - dihiris mancis
2 ulas bawang merah - hiris
1 ulas bawang putih - hiris
Air secukupnya
Air asam jawa
1 ulas bawang besar - hiris gelang
1 tangkai cili merah - hiris
6 tangkai cili padi - diketuk
garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:
  • Daging digaul bersama garam dan kunyit, biarkan sekejap.
  • Panaskan minyak dalam kuali, goreng daging sebentar.
  • Tambahkan air melebihi paras daging, biarkan daging empuk.
  • Tambahkan air lagi, kali ni separuh je dari air tadi, masukkan bawang merah, bawang putih dan halia.
  • Selepas air hampir kering, tambahkan air asam jawa, cili merah, cili padi beserta bawang besar.
  • Perasakan gula dan garam secukupnya. 
  • Biarkan merenih seketika.

Tuesday, 29 December 2015

Daging Masak Asam

Salam dan Hi Semua..

Hari ni kami masak daging masam asam, buat lebih sikit untuk dimakan pagi esok dengan nasi himpit. Selalunya mak masak daging ni untuk juadah raya. Kalau daging, memang wajib masak asam. Lain tak mau..Hehe. 

DAGING MASAK ASAM

Daging Masak Asam


Bahan-bahan:
400g daging - dihiris kecil
10 tangkai cili kering*
1 sudu kecil jintan manis*
2 biji buah keras*
1 inci halia*
1 inci lengkuas*
1 inci kunyit hidup*
3 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih*
2 ulas bawang merah - dihiris
1 ulas bawang putih - dihiris
bunga cengkih, bunga lawang, kulit kayu manis
1 batang serai - diketuk 
1 sudu besar gula @ secukupnya
garam secukupnya
air asam jawa
1/2 cawan susu cair
daun sup daun bawang @ daun kunyit - racik halus
  • Rendam cili kering, jintan manis dan buah keras dalam air panas hingga cili kembang.
  • Kisar halus bahan bertanda *
  • Panaskan minyak, tumis bawang merah, bawang putih, bunga cengkih, bunga lawang dan kulit kayu manis sehingga naik bau. Masukkan bahan kisar.
  • Masukkan serai, daging dan garam, masak sehingga daging empuk dan rempah pecah minyak. 
  • Tambahkan gula dan air asam.
  • Selepas mendidih masukkan susu cair.
  • Biarkan mereneh atas api perlahan.
  • Taburkan daun sup daun bawang.

Monday, 13 July 2015

26 Ramadhan 1436H - Daging salai masak lemak cili padi bersama amra

Salam dan Hi Semua...

DAGING SALAI MASAK LEMAK CILI PADI BERSAMA AMRA

Daging Salai Masak Lemak Cili Padi


Bahan2:
1/2 kilo daging salai - dihiris nipis
8 ulas bawang merah*
2 inci kunyit hidup*
15 biji cili padi*
2 biji buah amra @ belimbing buluh - dihiris nipis
2 batang serai - dititik
1 cawan air
  • Kisar kasar kunyit hidup, cili padi dan bawang merah. 
  • Masukkan air, bahan kisar dan daging, garam, serai dan daging ke dalam periuk, rebus hingga daging empuk (10 - 15 minit).
  • Masukkan buah amra dan santan , kecilkan api, masak sehingga mendidih.